Polis buru pengawal keselamatan pecah masuk kondominium
KUALA LUMPUR 27 Mei - Polis memburu seorang pengawal keselamatan dipercayai dalang kes pecah rumah ahli perniagaan melibatkan kerugian kira-kira RM300,000 di Kondominium Melawati Utama, Wangsa Maju, dekat sini, 15 April lalu.
Sehubungan itu, polis ingin menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai Aidil berusia 20-an dipercayai melakukan jenayah itu bersama rakannya, juga seorang pengawal keselamatan di kondominium sama pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, kejadian berlaku antara pukul 9 pagi dan 5 petang ketika penghuninya iaitu sepasang suami isteri tiada di dalam rumah itu.
Katanya, kedua-dua suspek bertindak memecah masuk setelah melihat pasangan tersebut keluar dari rumah dan menaiki ambulans ke hospital.
"Sebaik pulang, ahli perniagaan itu terkejut mendapati rumah mereka diceroboh masuk. Sebuah peti besi menyimpan wang tunai dan barangan kemas juga lesap," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Jinjang, di sini hari ini.
Zakaria memberitahu, maklumat berhubung dalang kejadian itu diperoleh selepas polis yang menjalankan siasatan menahan tujuh individu termasuk rakan suspek.
"Rakan suspek itu adalah individu yang melakukan jenayah tersebut pada hari kejadian. Mereka menggunakan pemutar skru untuk memecah pintu hadapan dan membuka pintu peti besi itu.
"Peti besi kosong ditemui polis di kawasan tangga di tingkat enam kondominium itu. Suspek telah melarikan diri sejurus kejadian tetapi rakannya berjaya ditahan," katanya.
Jelas Zakaria, kesemua tujuh individu yang ditahan itu dibebaskan dengan jaminan polis.
Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek supaya segera menghubungi balai polis berdekatan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment